Saya mula mengenali Sami Yusuf pada tahun 2005 menerusi lagu Al-Muallim yang saya temui secara kebetulan ketika mencari nasyid – nasyid Arab di internet. Al-Muallim tidak mengambil masa lama untuk memikat pendengaran saya. Sekali dengar dan saya terus muat turun lagu tersebut meski saya belum kenal siapa Sami Yusuf ketika itu. Pencarian demi pencarian di internet menemukan saya dengan maklumat yang lebih tentang lelaki berbakat ini. Bak kata orang putih, the rest is history.
Berdasarkan keterangan pada album pertama beliau, Al-Muallim, selain daripada teori muzik barat (tapi saya pernah baca, muzik yang kononnya ciptaan barat ini dicedok dari muslim scholar), Sami Yusuf juga menguasai ilmu menyanyi mengikut nota muzik Arab yang dikenali sebagai maqam. Boleh rujuk sini untuk mengetahui perbezaan maqam dan harmony. Secara peribadi, saya dapati vocal range Sami Yusuf memang pelbagai. Beliau tidak banyak membawa not tinggi tetapi variasi not pelbagai dan not rendahnya memang mengagumkan.
Selepas Al-Muallim, beliau muncul dengan album My Ummah dan seterusnya Wherever You Are yang akan saya ulas dalam entri ini. Sebetulnya ada album ketiga yang lain, Without You yang kontroversi dek perselisihan antara Sami Yusuf dan syarikat lamanya Awakening. Tetapi tidak perlu lah saya berjoyah tentang hal ini di sini.
Wherever You Are memuatkan 12 lagu yang terdiri daripada pelbagai genre. Hampir kesemua lagu memfokuskan kepada kebergantungan dan pengharapan kepada Tuhan semata-mata.
1. WHEREVER YOU ARE: Sekali dengar, saya dapati lagu ini bunyinya biasa sahaja. Hanya setelah mendengar beberapa kali, saya mula menikmati keindahan melodinya terutama pada bahagian korus. Lirik yang berbunyi “Wherever You are, I’ll find You” yang diulang-ulang pada bahagian korus terasa sangat menyentuh hati. Penghayatan Sami Yusuf terasa begitu kuat di dalam lagu ini. Suaranya kedengaran begitu pasrah menggantungkan harapan kepada yang Maha Pencipta. Petikan gitar terutama pada intro lagu ini mengasyikkan. Genrenya saya kurang pasti, hendak kata ballad tidak begitu ballad, malah ada bunyi seperti folk song juga. Genre lagu ini sedikit mengingatkan saya pada rentak muzik yang biasa dinyanyikan Yusuf Islam @ Cat Stevens.
2. SALAAM: Lagu ini tentang mendoakan kesejahteraan dan perpaduan ummah. Setiap kali mendengar lagu ini saya pasti tersenyum. Ucapan salam dalam korus bernada mesra dan ramah seolah-olah berupaya meleraikan pertelingkahan. Alat muzik yang digunakan adalah minima dan mendamaikan.
3. WITHOUT YOU: Album kontroversi Without You telah memuatkan lagu ini. Dalam album Wherever You Are, lagu ini diberi nafas baru dengan rentak yang lebih catchy dan dinyanyikan dalam beberapa bahasa. Lirik masih berkisar tentang pergantungan kepada Tuhan tetapi dengan nada yang gembira.
4. YOU CAME TO ME: Lagu ini juga bertemakan munajat seorang hamba yang merintih dan mengharap hanya padaNya. Penghayatan Sami Yusuf dalam lagu ini juga ketara, namun pada pandangan saya tidak sebaik dalam Wherever You Are. Seperti trademark Sami Yusuf, nada lagu ini memang soothing.
5. GIVE THE YOUNG A CHANCE: Lagu ini berkisar tentang cabaran-cabaran getir yang dihadapi generasi muda kini dan betapa pentingnya kita membantu mereka mengharunginya. Susunan muzik mengagumkan. Sangat sesuai untuk konsert berbentuk orkestra. Gesekan biola pada masa korus memang menaikkan semangat lagu ini. Lagu ini sedikit mengingatkan saya pada lagu Free dalam album My Ummah. Nyanyian Sami Yusuf seperti biasa tidak perlu dipertikaikan.
6. TRIALS OF LIFE: Lagu pertama dari album ini yang mencuri perhatian saya dengan sekali dengar kerana genrenya old school R&B ala-ala lagu Water Runs Dry oleh Boyz 11 Men (bukan R&B zaman sekarang yang tergedik-gedik tak tentu hala). Menariknya meskipun muziknya R&B, Sami Yusuf masih mengekalkan cara nyanyiannya yang bernada timur tengah. Kombinasi ini tidak pula janggal, malah kedengaran unik. Lirik lagu ini tentang kehidupan kita yang lumrahnya sentiasa ada ujian seharusnya diterima dengan hati terbuka demi mencapai keredhaanNya. Sangat bagus untuk dihayati ketika ditimpa ujian dan kita terasa tidak mampu menghadapinya.
7. WORRY ENDS: Lagi lagu tentang jangan berkeluh kesah terutamanya apabila pandangan orang yang kita risaukan. Mesej dalam lirik lagu ini memang kuat sehingga mampu mengatasi nada lagunya yang saya kira agak biasa pada pendengaran pertama. Terutama pada lirik ini, “when you feel you’ve lost it all and you don’t know who’s your friend or foe, you wonder why you’re so alone, worry ends when faith begins” mengesahkan pendirian saya bahawa usah menggantung sebarang harapan pada manusia, kelak diri sendiri kecewa. Tidak dapat tidak, lagu ini mengingatkan saya pada dakwaan Sami Yusuf bahawa beliau dikhianati dalam isu kontroversi album Without You. (Bukan tadi kata tidak mahu berjoyah :-p)
8. FRAGILE WORLD : Lagu ini lebih jelas nada terluka berbanding lagu Worry Ends. Terutama menerusi lirik ini, “Did you think you can silence me? With your lies, games and deceit? You can continue robbing me but you won’t rob my dignity I know that life is just a game”. Namun kepasrahan kepada Tuhan tetap menjadi tema utama dalam bait-bait berikutnya,” I don’t know where my heart will take me. But I know your light will protect me from this fragile world”. Ya, inilah realitinya.. kehidupan kita di dunia hanya sementara. Malanglah jika kita menganggap segala-galanya berakhir di sini. Genre muzik ini ada unsur jazz melalui petikan piano Sami Yusuf. Tetapi korusnya mengingatkan saya pada irama lagu ala-ala Enya.
9. IN EVERY TEAR, HE IS THERE: Setelah tiga lagu berturut-turut tentang kepasrahan menghadapi ujian, lagu ini bernada sedikit positif. Ia mengenai harapan agar ummah dilimpahi rahmat dan dihindar dari kesusahan. Satu bahagian pada lagu ini diisi nyanyian koir dalam bahasa Afrika (Zulu kalau tidak salah). Juga remake daripada versi di dalam album Without You. Lagu yang bagus tetapi tidak begitu menambat hati saya, entah kenapa.
10. MAKE ME STRONG: Tidak syak lagi lagu ini ialah munajat seorang hamba yang merintih memohon kekuatan menghadapi ranjau kehidupan. Hampir tiada muzik digunakan untuk lagu ini, kalau ada pun sayup-sayup. Kekuatan suara Sami Yusuf terbukti menerusi lagu ini. Video lagu ini saya paparkan di atas, ia dihasilkan oleh Ustaz Zaharuddin.
11. NO WORD IS WORTHY: Ini lagu mengajak kita berzikir dan terus menjadi salah satu lagu Sami Yusuf yang paling saya gemari. Alunan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil pada korus sangat menyentuh hati. Lebih menarik untuk pertama kalinya, Sami Yusuf yang suka menyanyikan lagunya dalam pelbagai bahasa telah memilih bahasa Melayu pada satu rangkap. Boleh tahan juga sebutannya. Lagu ini menjadi nada dering dan bunyi alarm telefon saya <3.
12. HEALING (Bonus) : “Heal and you will be healed”, demikian korus lagu ini berbunyi. Mesej utamanya, berbuat baiklah kepada semua insya Allah kebaikan itu akan kembali kepada kita. Lagu yang sesuai untuk mengakhiri susunan kesemua track di dalam album ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih insya Allah.
Persoalannya, adakah saya puas hati dengan album ini? Ya. Saya bersetuju dengan penilaian Rolling Stones terhadap album ini, 2.5 / 3 markah. Susunan muzik yang bagus, lirik dan mesej yang kuat, nyanyian Sami Yusuf yang cemerlang baik daripada segi teknik dan juga penghayatan. Hasil kerja yang nyata teliti dan wajar diberi pujian.
Untuk album ini, Sami Yusuf lebih banyak meneroka pelbagai genre dan muzik kontemporari meski masih ada sentuhan klasik yang menjadi specialtynya. Album ini mungkin mampu menarik sasaran yang berbeza daripada peminatnya yang sedia ada seperti saya. Namun saya tetap merasakan lagu Al-Muallim yang berentak tradisional itu merupakan masterpiece Sami Yusuf yang masih belum dapat ditandingi beliau sendiri. Mungkin kerana usia sudah semakin tua, saya lebih cenderung kepada muzik begitu (ayat menerima kenyataan hehe).
Salamssss..
ReplyDeleteTahniah! Macam kelahiran anak kedua. :P
Lagu make me strong tu buat saya hampr menitiskan air mata masa pertama kali dengar. Rasa macam sedang mengadu dan merayu2 pada Tuhan..
Lagu In every tear, he is there tu saya suka jugak walaupun ia tak menambat hati awak :P. Saya suka rentak pembukaan dan masa koir zulu tu. Boleh membantu saya menghilangkan ngantuk waktu drive. :P
Btw, ayat awak "yet if you are unable to do so, please leave", macam seram.. ngeh ngeh ngeh.. :P
Salam ida,
ReplyDelete10 loike!!!!