Thursday, June 25, 2015

Omar Series

Teringat masa budak-budak, ketika Ramadhan pasti ada drama Arab kisah para sahabat dan anbia ditayangkan di RTM. Malah sampai melekat di ingatan saya nama seorang pelakonnya Mahmoud Yassin. Apabila sudah dewasa saya cuba google tentang pelakon ini, ternyata beliau merupakan seorang pelakon yang disegani dan kini sudah bergelar veteran. Lagu tema drama yang beliau lakonkan juga rupanya melekat dalam memori. Dalam album Sami Yusuf yang pertama, Al-Muallim, lagu tersebut dinyanyikan semula oleh Sami Yusuf, tajuknya The Creator. Ketika mendengar lagu tersebut saya rasa nostalgik. Hati kuat mengatakan pernah mendengar lagu ini. Tetapi tidak tahu mahu mengesahkan dengan siapa. Saya membaca maklumat pencipta lagu, ternyata copyright control. Saya makin yakin tekaan saya tepat. Ditakdirkan seorang teman sekuliah saya ketika itu, R juga menyatakan hal yang sama. Kami semasa kecil tergolong dalam golongan kuat menonton televisyen :D

Tetapi lama kelamaan RTM sudah tidak menayangkan drama Arab, entah kenapa. Dengan teknologi internet, saya cuba mencari drama-drama Arab kisah sahabat dan para nabi tetapi susah mahu jumpa yang ada sarikata. Bolehlah kalau mahu mengasah kembali Bahasa Arab yang berkarat, tetapi kurang lancar proses menontonnya. Pada tahun 2013, saya mendapat suggestion oleh YouTube untuk menonton Omar Series oleh Rangkaian MBC. Ternyata siap dengan sarikata Bahasa Inggeris yang tinggi mutunya, bukan alih Bahasa sesuka hati. Bayangkan bukan mudah menterjemah Bahasa Arab tinggi yang digunakan dalam drama tersebut.

Sejujurnya pada permulaan saya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap kualiti drama tentang Saidina Omar r.a. tersebut, yang penting saya dapat menonton sesuatu yang bermanfaat dan menambahkan pengetahuan sejarah saya. Jangkaan saya silap, kualitinya bukan calang-calang.  Pun begitu, saya mulanya agak terkejut kerana Saidina Omar memang diperankan tanpa disorok-sorok mukanya. Begitu juga dengan watak Saidina Abu Bakar, Saidina Usman dan Saidina Ali (r.a.hum) yang memang dilakonkan secara nyata. Belum pernah saya menonton para sahabat dilakonkan secara jelas dalam drama dan filem terdahulu. Oleh kerana saya mempunyai tabiat menggoogle yang agak kronik, selepas menonton satu dua episod, saya mencari maklumat tentang pembikinan Omar Series.


Secara ringkasnya, drama 30 siri ini memang projek besar-besaran, pelakon-pelakonnya dipilih dari pelbagai Negara Arab, antaranya Syria, Tunisia dan Sudan. Perancangan teliti juga dilakonkan dalam hal lokasi, kostum, sinematografi dan runut bunyi. Pandangan ulama dari pelbagai aliran turut diambil kira. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dunia Arab dalam hal memerankan 10 sahabat dijamin syurga. Boleh rujuk di sini

Secara peribadi, saya merasakan pemilihan Samer Ismail sebagai pemeran Saidina Umar memang sesuai berdasarkan riwayat keterangan rupa paras sahabat terbilang itu. Berdasarkan carian saya, Samer Ismail menegaskan dalam satu temuramah bahawa jangan sesekali mengaitkan peribadinya dengan peribadi Saidina Umar r.a. yang jauh hebat dan tidak terjangkau olehnya. Manakala watak Saidina Abu Bakar r.a. dibawakan oleh Ghassan Massoud, seorang pelakon Syria. Berbanding Samer yang masih muda dan baru dalam dunia lakonan, Ghassan ialah seorang pelakon veteran dan telah bertapak kukuh malah pernah menembusi pasaran Hollywood. Beliau memegang watak Salehuddin Al-Ayubi dalam filem Kingdom of Heaven, antara sejumlah kecil filem Barat yang cuba menggambarkan Muslim dan Islam secara adil. Ghassan juga pernah menerima tawaran berlakon dalam filem Syriana tetapi menolaknya kerana khuatir Islam akan digambarkan secara salah. Namun beliau kemudiannya kesal kerana filem tersebut tidak menggambarkan Islam dengan buruk.  

Pada hemat saya, watak Saidina Usman r.a. agak mengecewakan dari segi pemilihan pelakon dan juga atas kekurangan skrip yang diberikan. Peranan Saidina Usman r.a. di dalam drama ini tidak ditonjolkan dengan sewajarnya. Saya kurang mengerti tentang hal ini, kenapa peranan Saidina Usman r.a. tidak ketara berbanding kisah para sahabat lain yang lebih lambat masuk Islam dan tidak tergolong dalam senarai dijamin syurga seperti Amr bin As dan Khalid al Walid (r.a.huma). Watak Saidina Ali r.a. dipaparkan dengan baik dalam drama ini, namun saya kurang senang kerana wajah pelakonnya sangat mirip dengan gambaran Saidina Ali oleh pengikut Syiah. Ghanem Zrelli yang memegang watak Saidina Ali juga seorang pelakon yang agak muda asal Tunisia namun bukanlah baru dalam dunia lakonan seperti Samer.

Mutu lakonan sebahagian besar pelakon dalam drama ini memang mengagumkan saya, terutamanya Ghassan. Kita juga boleh lihat peningkatan kualiti lakonan Samer dari episode ke episode. Episod Saidina Umar memeluk Islam sangat menyentuh hati saya. Ia merupakan salah satu episode kegemaran saya di samping episod Saidina Umar r.a. keluar melihat kebajikan rakyat pada waktu malam. Watak Amru bin As dan Khalid Al-Walid juga diperankan dengan cemerlang oleh Qasim Melho dan Mehyar Khaddour. Sepertimana Qasim berjaya menampilkan kebijaksanaan Amru, Mehyar juga Berjaya menunjukkan karakter kepanglimaan dan kepandaian berperang Khalid yang lagenda itu. Berdasarkan carian saya lagi, Mehyar menolak menggunakan stuntman untuk aksi-aksi lasak dan perang. Beliau berkata, kehidupan Khalid sebahagian besarnya dihabiskan berjihad di medan perang, sekiranya stuntman digunakan apakah peranannya sebagai pelakon? Pemeran watak Bilal bin Rabah juga Berjaya membawakan wataknya dengan baik. Namun pada pendapat saya, pelakon yang paling hebat di dalam drama ini ialah pemeran watak Abu Sufyan, Fethi Haddaoui. Adegan beliau berperang dengan emosi ketika pembukaan Makkah memang membuatkan saya terpegun.  Saya bagai dapat merasakan perasaan tersepit di antara pilihan menerima kebenaran yang memang nyata dan statusnya sebagai pemimpin kaum Quraisy. Saya fikir saya sahaja berpendapat sedemikian, tetapi rupanya saya menjumpai komen-komen memuji kehebatan lakonannya di YouTube.

Drama ini telah mengenalkan saya dengan lebih dekat kepada para-para sahabat yang sebelum ini saya kurang ambil peduli. Saya mula jatuh hati dengan peribadi Abu Ubaidah Al-Jarrah r.a. selepas menonton drama ini. Begitu juga saya mula mengenali sosok kakanda Saidina Umar, Zaid bin Khattab r.a. yang lebih dulu menerima Islam. Spoiler Alert: Adegan Saidina Umar menanggung kesedihan selepas menerima berita kematian abangnya di Yamamah sangat menyentuh hati. Saya juga mula memberi perhatian kepada sumbangan Abdullah bin Umar r.a. yang soleh seperti bapanya. Saya juga baru tahu tentang sedikit perselisihan yang unik di antara Saidina Umar dan Khalid. Namun mereka tidak pernah menyimpan di dalam hati kerana segala kehidupan mereka telahpun diserahkan kepada Allah.

Persaudaraan Islam di antara Salim dan mawlanya Huzaifah, hubungan kedua anak lelaki Suhayl bin Amr yang bersungguh-sungguh mempertahankan akidah mereka juga antara perkara baru bagi saya. Menariknya sepanjang menonton kita akan cuba mencari-cari daripada memori pembacaan dan pembelajaran sirah. Bukan sahaja saya lebih banyak dikenalkan dengan sejarah para sahabat yang soleh, saya juga mula mengetahui adanya nabi-nabi palsu selain Musailamah Al-Kazzab. Ketika mula-mula menonton saya skeptikal, betulkah ada nabi palsu perempuan? (sendiri malas membaca hendak skeptikal pula). Kemudiannya saya membaca buku Khalid Sword ofAllah, memang selari maklumat di dalam buku dengan apa yang dipaparkan dalam drama. Namun begitu, ada juga kesalahan fakta seperti muazzin ketika pembukaan Baitulmuqaddis sepatutnya Bilal tetapi di dalam drama dilakukan oleh Amru bin As. Apapun, drama ini memang membuka hati dan memotivasikan saya untuk lebih banyak membaca dan mempelajari tentang para sahabat dan juga seerah.

Bahasa Arab yang digunakan pelakon dalam drama ini juga begitu indah dan aras tinggi. Bukan Bahasa pertuturan di jalanan, maka memudahkan untuk saya perlahan-lahan cuba menangkap maksud butir bicara. Bukan sahaja saya jadi lebih bersemangat mempelajari seerah, saya juga jadi lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kefahaman Bahasa Arab saya. Sangat banyak adegan menyentuh hati dan melonjakkan semangat dalam drama ini, membuatkan saya tersentak banyak kali betapa besar pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat hingga Islam dapat sampai kepada kita. Menjadikan saya refleksi sumbangan diri sendiri kepada Islam. Menyebut radiallahu anhu selepas nama mereka juga rasa lebih bermakna.


Penilaian saya untuk drama ini ialah 9/10. Drama ini ditayangkan pada bulan Ramadhan tahun 2012 di saluran MBC dan mendapat respon memberangsangkan. Highly recommended and worth watching insya Allah! Semoga ia dapat mengubah persepsi dan memperbaiki diri anda seperti mana ia memberi kesan kepada saya. Boleh tonton keseluruhan siri di sini