Teringat masa
budak-budak, ketika Ramadhan pasti ada drama Arab kisah para sahabat dan anbia
ditayangkan di RTM. Malah sampai melekat di ingatan saya nama seorang
pelakonnya Mahmoud Yassin. Apabila sudah dewasa saya cuba google tentang
pelakon ini, ternyata beliau merupakan seorang pelakon yang disegani dan kini
sudah bergelar veteran. Lagu tema drama
yang beliau lakonkan juga rupanya melekat dalam memori. Dalam album Sami Yusuf
yang pertama, Al-Muallim, lagu tersebut dinyanyikan semula oleh Sami Yusuf,
tajuknya The Creator. Ketika mendengar lagu tersebut saya rasa nostalgik. Hati kuat
mengatakan pernah mendengar lagu ini. Tetapi tidak tahu mahu mengesahkan dengan
siapa. Saya membaca maklumat pencipta lagu, ternyata copyright control. Saya makin
yakin tekaan saya tepat. Ditakdirkan seorang teman sekuliah saya ketika itu, R
juga menyatakan hal yang sama. Kami semasa kecil tergolong dalam golongan
kuat menonton televisyen :D
Tetapi lama
kelamaan RTM sudah tidak menayangkan drama Arab, entah kenapa. Dengan teknologi
internet, saya cuba mencari drama-drama Arab kisah sahabat dan para nabi tetapi
susah mahu jumpa yang ada sarikata. Bolehlah kalau mahu mengasah kembali Bahasa
Arab yang berkarat, tetapi kurang lancar proses menontonnya. Pada tahun 2013,
saya mendapat suggestion oleh YouTube untuk menonton Omar Series oleh Rangkaian
MBC. Ternyata siap dengan sarikata Bahasa Inggeris yang tinggi mutunya, bukan
alih Bahasa sesuka hati. Bayangkan bukan mudah menterjemah Bahasa Arab tinggi
yang digunakan dalam drama tersebut.
Sejujurnya pada
permulaan saya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap kualiti drama tentang
Saidina Omar r.a. tersebut, yang penting saya dapat menonton sesuatu yang
bermanfaat dan menambahkan pengetahuan sejarah saya. Jangkaan saya silap,
kualitinya bukan calang-calang. Pun begitu,
saya mulanya agak terkejut kerana Saidina Omar memang diperankan tanpa
disorok-sorok mukanya. Begitu juga dengan watak Saidina Abu Bakar, Saidina
Usman dan Saidina Ali (r.a.hum) yang memang dilakonkan secara nyata. Belum pernah saya
menonton para sahabat dilakonkan secara jelas dalam drama dan filem terdahulu. Oleh
kerana saya mempunyai tabiat menggoogle yang agak kronik, selepas menonton satu
dua episod, saya mencari maklumat tentang pembikinan Omar Series.
Secara ringkasnya,
drama 30 siri ini memang projek besar-besaran, pelakon-pelakonnya dipilih dari
pelbagai Negara Arab, antaranya Syria, Tunisia dan Sudan. Perancangan teliti
juga dilakonkan dalam hal lokasi, kostum, sinematografi dan runut bunyi. Pandangan
ulama dari pelbagai aliran turut diambil kira. Terdapat perbezaan pendapat di
kalangan ulama dunia Arab dalam hal memerankan 10 sahabat dijamin syurga. Boleh
rujuk di sini.
Secara peribadi,
saya merasakan pemilihan Samer Ismail sebagai pemeran Saidina Umar memang
sesuai berdasarkan riwayat keterangan rupa paras sahabat terbilang itu. Berdasarkan
carian saya, Samer Ismail menegaskan dalam satu temuramah bahawa jangan
sesekali mengaitkan peribadinya dengan peribadi Saidina Umar r.a. yang jauh hebat
dan tidak terjangkau olehnya. Manakala watak Saidina Abu Bakar r.a. dibawakan oleh
Ghassan Massoud, seorang pelakon Syria. Berbanding Samer yang masih muda dan
baru dalam dunia lakonan, Ghassan ialah seorang pelakon veteran dan telah bertapak
kukuh malah pernah menembusi pasaran Hollywood. Beliau memegang watak
Salehuddin Al-Ayubi dalam filem Kingdom of Heaven, antara sejumlah kecil filem
Barat yang cuba menggambarkan Muslim dan Islam secara adil. Ghassan juga pernah
menerima tawaran berlakon dalam filem Syriana tetapi menolaknya kerana khuatir
Islam akan digambarkan secara salah. Namun beliau kemudiannya kesal kerana
filem tersebut tidak menggambarkan Islam dengan buruk.
Pada hemat
saya, watak Saidina Usman r.a. agak mengecewakan dari segi pemilihan pelakon dan
juga atas kekurangan skrip yang diberikan. Peranan Saidina Usman r.a. di dalam drama
ini tidak ditonjolkan dengan sewajarnya. Saya kurang mengerti tentang hal ini,
kenapa peranan Saidina Usman r.a. tidak ketara berbanding kisah para sahabat lain
yang lebih lambat masuk Islam dan tidak tergolong dalam senarai dijamin syurga
seperti Amr bin As dan Khalid al Walid (r.a.huma). Watak Saidina Ali r.a. dipaparkan dengan
baik dalam drama ini, namun saya kurang senang kerana wajah pelakonnya sangat
mirip dengan gambaran Saidina Ali oleh pengikut Syiah. Ghanem Zrelli yang
memegang watak Saidina Ali juga seorang pelakon yang agak muda asal Tunisia
namun bukanlah baru dalam dunia lakonan seperti Samer.
Mutu lakonan
sebahagian besar pelakon dalam drama ini memang mengagumkan saya, terutamanya
Ghassan. Kita juga boleh lihat peningkatan kualiti lakonan Samer dari episode ke
episode. Episod Saidina Umar memeluk Islam sangat menyentuh hati saya. Ia merupakan
salah satu episode kegemaran saya di samping episod Saidina Umar r.a. keluar melihat kebajikan rakyat pada waktu malam. Watak Amru bin As dan Khalid Al-Walid juga
diperankan dengan cemerlang oleh Qasim Melho
dan Mehyar Khaddour. Sepertimana Qasim berjaya menampilkan
kebijaksanaan Amru, Mehyar juga Berjaya menunjukkan karakter kepanglimaan dan
kepandaian berperang Khalid yang lagenda itu. Berdasarkan carian saya lagi,
Mehyar menolak menggunakan stuntman untuk aksi-aksi lasak dan perang. Beliau berkata,
kehidupan Khalid sebahagian besarnya dihabiskan berjihad di medan perang,
sekiranya stuntman digunakan apakah peranannya sebagai pelakon? Pemeran watak
Bilal bin Rabah juga Berjaya membawakan wataknya dengan baik. Namun pada
pendapat saya, pelakon yang paling hebat di dalam drama ini ialah pemeran watak
Abu Sufyan, Fethi Haddaoui. Adegan beliau
berperang dengan emosi ketika pembukaan Makkah memang membuatkan saya terpegun.
Saya bagai dapat merasakan perasaan
tersepit di antara pilihan menerima kebenaran yang memang nyata dan statusnya
sebagai pemimpin kaum Quraisy. Saya fikir saya sahaja berpendapat sedemikian,
tetapi rupanya saya menjumpai komen-komen memuji kehebatan lakonannya di YouTube.
Drama ini telah
mengenalkan saya dengan lebih dekat kepada para-para sahabat yang sebelum ini
saya kurang ambil peduli. Saya mula jatuh hati dengan peribadi Abu Ubaidah
Al-Jarrah r.a. selepas menonton drama ini. Begitu juga saya mula mengenali sosok
kakanda Saidina Umar, Zaid bin Khattab r.a. yang lebih dulu menerima Islam. Spoiler
Alert: Adegan Saidina Umar menanggung kesedihan selepas menerima berita
kematian abangnya di Yamamah sangat menyentuh hati. Saya juga mula memberi
perhatian kepada sumbangan Abdullah bin Umar r.a. yang soleh seperti bapanya. Saya
juga baru tahu tentang sedikit perselisihan yang unik di antara Saidina Umar
dan Khalid. Namun mereka tidak pernah menyimpan di dalam hati kerana segala
kehidupan mereka telahpun diserahkan kepada Allah.
Persaudaraan Islam
di antara Salim dan mawlanya Huzaifah, hubungan kedua anak lelaki Suhayl bin
Amr yang bersungguh-sungguh mempertahankan akidah mereka juga antara perkara
baru bagi saya. Menariknya sepanjang menonton kita akan cuba mencari-cari
daripada memori pembacaan dan pembelajaran sirah. Bukan sahaja
saya lebih banyak dikenalkan dengan sejarah para sahabat yang soleh, saya juga
mula mengetahui adanya nabi-nabi palsu selain Musailamah Al-Kazzab. Ketika mula-mula
menonton saya skeptikal, betulkah ada nabi palsu perempuan? (sendiri malas
membaca hendak skeptikal pula). Kemudiannya saya membaca buku Khalid Sword ofAllah, memang selari maklumat di dalam buku dengan apa yang dipaparkan dalam
drama. Namun begitu, ada juga kesalahan fakta seperti muazzin ketika pembukaan
Baitulmuqaddis sepatutnya Bilal tetapi di dalam drama dilakukan oleh Amru bin
As. Apapun, drama ini memang membuka hati dan memotivasikan saya untuk lebih
banyak membaca dan mempelajari tentang para sahabat dan juga seerah.
Bahasa Arab
yang digunakan pelakon dalam drama ini juga begitu indah dan aras tinggi. Bukan
Bahasa pertuturan di jalanan, maka memudahkan untuk saya perlahan-lahan cuba
menangkap maksud butir bicara. Bukan sahaja saya jadi lebih bersemangat
mempelajari seerah, saya juga jadi lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan
kefahaman Bahasa Arab saya. Sangat banyak adegan menyentuh hati dan melonjakkan
semangat dalam drama ini, membuatkan saya tersentak banyak kali betapa besar
pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat hingga Islam dapat sampai
kepada kita. Menjadikan saya refleksi sumbangan diri sendiri kepada Islam. Menyebut
radiallahu anhu selepas nama mereka juga rasa lebih bermakna.
Penilaian saya
untuk drama ini ialah 9/10. Drama ini ditayangkan pada bulan Ramadhan tahun
2012 di saluran MBC dan mendapat respon memberangsangkan. Highly recommended
and worth watching insya Allah! Semoga ia dapat mengubah persepsi dan
memperbaiki diri anda seperti mana ia memberi kesan kepada saya. Boleh tonton keseluruhan siri di sini.